TEKS UCAPAN PRESIDEN PGSM SEMPENA MAJLIS PELANCARAN KHIDMAT'S PGSM

TEKS UCAPAN PRESIDEN PGSM SEMPENA MAJLIS PELANCARAN PUSAT KHIDMAT NASIHAT GUAMAN SYARIE PGSM (Khidmat’S PGSM)

PADA JUMAAT, 27 NOVEMBER 2020


Terima kasih Pengacara Majlis, Tuan Mohd Ridzuan Hussin.

Yang Amat Arif, Dato' Dr. Haji Mohd Naim Bin Haji Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie, Jabatan kehakiman Syariah Malaysia (JKSM),

Y.Bhg Tuan Haji Moeis Bin Basri, Timbalan Presiden PGSM,

Y.Bhg Dato Haji Hanif Bin Hassan, Pengerusi PGSM Negeri Sembilan,

Y.Bhg Dato Haji Mohd Adli Bin Ithnin, Pengerusi PGSM Melaka,

Y.Bhg Tuan Haji Fakhrul Azman Bin Abu Hasan, Pengerusi PGSM Wilayah Persekutuan,

Y.Bhg Tuan Hairunnajmi Bin Najmuddin, Pengerusi PGSM Selangor,

Y.Bhg Tuan Shazril Khairy Bin Mustafa, Pengerusi PGSM Pulau Pinang,

Y.Bhg Tuan Haji Ismail Bin Mohd, Pengerusi PGSM Kelantan,

Tuan Puan sidang penonton dan pendengar sekalian.

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, kami panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan inayah-Nya kita dapat bersama-sama secara atas talian pada pagi ini dalam MAJLIS PELANCARAN PUSAT KHIDMAT NASIHAT GUAMAN SYARIE PGSM atau ringkasnya “Khidmat’S PGSM” yang akan disempurnakan oleh YAA DATO’ DR HAJI MOHD NAIM BIN HAJI MOKHTAR, KETUA PENGARAH, JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH MALAYSIA (JKSM).

Terlebih dahulu, saya bagi pihak keseluruhan Pimpinan PGSM Pusat dan PGSM Negeri-Negeri mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAA DATO’ atas kesudian YAA DATO’ untuk melancarkan Khidmat’S PGSM pada pagi ini.

YAA Dato’ serta Tuan/Puan yang dirahmati sekalian.

PUSAT KHIDMAT NASIHAT GUAMAN SYARIE PGSM atau ringkasnya "Khidmat'S PGSM" tercetus apabila negara sekali lagi dikenakan PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN BERSYARAT (PKPB) mulai 9 November 2020 sehingga 6 Disember 2020, bagi W.P KUALA LUMPUR, W.P PUTRAJAYA, SELANGOR, KEDAH, PULAU PINANG, PERAK, NEGERI SEMBILAN, MELAKA, JOHOR dan TERENGGANU. Rantai aktiviti ekonomi dan industri masih dibenarkan. Walaubagaimanapun pergerakan keluar masuk penduduk dari kawasan PKPB atau negeri tidak dibenarkan kecuali dengan kebenaran PDRM.

Pada masa sama, operasi di Mahkamah Syariah bagi negeri-negeri PKPB telah dihadkan semula, iaitu untuk pendengaran kes-kes tertentu sahaja. Hanya kes-kes yang mendesak sahaja boleh difailkan dengan mengemukakan Perakuan Segera. Bukan sahaja masyarakat Islam terkesan dengan keadaan ini, akan tetapi turut melibatkan pengamal undang-undang syariah iaitu Peguam Syarie, yang sebahagian besarnya adalah Ahli-Ahli PGSM.

Sedangkan pada masa sama, walaupun dalam situasi PKPP atau PKPB, isu-isu yang melibatkan tuntutan ke Mahkamah Syariah masih berterusan. Akhbar-akhbar melaporkan bahawa kes PERCERAIAN dan kadar kes KEGANASAN RUMAH TANGGA meningkat semasa PKP.

Hilang punca pendapatan, menganggur dan stres semasa PKP akibat pandemik Covid-19 ternyata mencetuskan ‘kebiasaan baharu’ dalam kehidupan masyarakat kita. Dalam keadaan suami isteri terpaksa duduk di rumah, rupa-rupanya mencetuskan cabaran lebih besar kepada mereka sehinggakan hal-hal remeh menjadi punca perceraian.

Pada 9 November 2020, dilaporkan bahawa kes KEGANASAN RUMAHTANGGA di Selangor mencatatkan peningkatan mendadak sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac lalu sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) September lepas.

Exco Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, DR SITI MARIAH MAHMUD dalam kenyataannya berkata, sebanyak 4,872 PANGGILAN telah diterima menerusi panggilan dan mesej melalui apilkasi WhatsApp di WAO Hotline dan 'Talian Think I Need Aid' atau TINA.

Pada April 2020, PGSM telah melancarkan program KONSULTASI GUAMAN SYARIAH SECARA ATAS TALIAN menerusi Aplikasi WhatsApp ke talian 011-3701-9155 atau email nasihatguamanpgsm@gmail.com bagi membantu umat Islam yang mempunyai isu atau konflik berkaitan undang-undang syariah mendapatkan khidmat nasihat sepanjang PKP. Konsultasi atas talian ini masih lagi diteruskan sehingga ke hari ini.  

Walau bagaimanapun, konsultasi secara atas talian ini adalah terhad. Pengadu atau pelanggan tidak dapat bersemuka dengan Peguam Syarie yang memberikan konsultasi. Mereka tidak kenal dan tidak dapat melihat wajah antara satu sama lain. Maka, daripada situ lah tercetusnya idea untuk mewujudkan pusat Khidmat’S PGSM ini, bagi memberi peluang kepada pihak yang terbabit mendapatkan nasihat perundangan syariah secara bersemuka, daripada Peguam Syarie yang bertauliah.

YAA Dato’ serta Tuan/Puan yang dirahmati sekalian.

Khidmat PGSM ini ialah suatu usaha di mana PGSM mengumpul firma-firma Peguam Syarie daripada kalangan Ahli-ahli PGSM di seluruh negara, yang mana mereka telah bersetuju untuk menjadikan firma mereka sebagai pusat Khidmat’S PGSM. Mereka juga telah bersetuju dan berakujanji untuk mematuhi segala syarat dan terma yang ditetapkan oleh PGSM.

Khidmat nasihat guaman syarie yang diberikan adalah PERCUMA. Namun sekiranya pelanggan yang telah mendapatkan khidmat nasihat tersebut bersetuju membawa kesnya ke Mahkamah Syariah, maka fi guaman syarie untuk mewakili pelanggan berkenaan adalah BERPATUTAN berdasarkan PERSETUJUAN BERTULIS antara pelanggan/anak guam dengan Panel Peguam Syarie tersebut.

Firma yang dipilih sebagai Pusat Khidmat’S PGSM adalah firma yang mempunyai BILIK KONSULTASI yang sesuai untuk tujuan khidmat nasihat, serta mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan mengamalkan penjarakan sosial, menyediakan penyukat suhu badan, menyediakan hand sanitizer dan merekodkan setiap butiran pelanggan yang hadir.

Pemilik firma juga dikehendaki melaporkan kepada pihak urusetia Khidmat'S PGSM pada SETIAP MINGGU/ 2 MINGGU SEKALI berkenaan BUTIRAN PELANGGAN yang hadir untuk konsultasi.

Sekiranya ada masyarakat yang berhubung dengan talian konsultasi atas talian PGSM, mereka ini akan dipanjangkan terus ke Pusat Khidmat’S PGSM untuk mendapatkan konsultasi secara bersemuka dengan panel Peguam Syarie.

Masyarakat yang hendak mendapatkan senarai Peguam Syarie yang menjadi panel Khidmat’S PGSM boleh melayari Laman sesawang (https://khidmatspgsm.blogspot.com)

YAA Dato’ serta Tuan/Puan yang dirahmati sekalian.

Khidmat’S PGSM ini bukan sahaja memudahkan masyarakat awam, malah juga dapat membantu Peguam-Peguam Syarie dalam menghadapi situasi pandemik COVID-19 dan PKP/PKPB.

Sepanjang PKP dan PKPB, saya menerima banyak permasalahan daripada rakan-rakan Peguam Syarie berkenaan masalah yang mereka hadapi sepanjang pandemik ini. Insha-Allah kami di PGSM akan cuba membantu setakat daya dan locus yang kami ada.

Cuma saya nak sebutkan di sini bahawa ada juga daripada kalangan Peguam Syarie yang banyak memberi idea, mengadu tentang masalah itu dan ini, apabila kita semak nama mereka, mereka belum lagi menjadi ahli PGSM. Saya khuatir dengan sikap sebegini. Kita banyak mengadu masalah, meminta pihak PGSM atau meminta pihak lain untuk buat sesuatu bagi faedah mereka, akan tetapi mereka sendiri tidak ada inisiatif atau rasa bertanggungjawab untuk mendaftarkan diri sebagai ahli PGSM.

Maka, saya menyeru kepada rakan-rakan Peguam Syarie di luar sana, marilah sama-sama kita bermuhasabah diri dan kembali melihat kepada teguran Allah SWT dalam SURAH AL-SAF AYAT 2-3:

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! - 

(As-Saff 61:

Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.

(As-Saff 61:3)

Mari lah kita sama-sama Bersatu hati, teguh berdiri dan Bersama-sama berjuang menghadapi COVID-19 ini. Kita jaga kita, kita bantu kita.

Sebagai penutup, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada YAA Dato’. Tidak lupa terima kasih saya kepada semua penonton dan pendengar yang bersama-sama secara atas talian pada pagi ini. Saya memohon maaf jika ada terkasar Bahasa dan tersalah bicara.

Sekian, 

wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Comments

Popular Posts